Monday, October 31, 2016

FRIENDS-Chapter 4:Permainan Seterusnya

   "Aduhai.." Lila sudah tidak sabar membuka helaian kertas yang dilekat itu. Cikgu sedang mengajar. Mengapalah surat ini dilekat? Rahsia sangatkah nombor telefonnya?
   Lila menanti waktu habis sekolah. "Kring!" Bagus! Soraknya gembira. "Terima kasih, cikgu!..." serentak murid menyampaikan terima kasih. Lila berlari terus ke tempat letak basikal Leesa dan Luna.
   "Amboi, tak sabarnya. Kan lebih baik kita buka di rumah awak. Nak?" kata Luna tertawa melihat karenah Lila.
   "Kenapa pula?"
   "Barulah surprise!" Leesa pun turut tertawa. Luna mengajak Lila menumpang basikalnya. "Marilah!"
   Mereka menyanyi gembira ketika dalam perjalanan ke rumah Lila. Lagu-lagu yang tidak dihafal pun dihentamnya mereka!
   Sesampai mereka di rumah Lila, mereka memasuki bilik Lila dan berehat sebentar bersama Kit-Kat. Mereka tumpang mandi di rumah Lila kerana selepas ini mereka mahu keluar berjalan di sekeliling taman perumahan. Bermain dan mengisi masa lapang pada waktu petang bersama penduduk yang lain.
   Mereka terlalu berpeluh. Mereka mesti mandi dulu baru buka surat tersebut. 30 minit kemudian..
   "Baiklah. Masanya sudah tiba", Lila berdebar. "Buka sajalah..."sindir Leesa yang setia menanti dari tadi.
   Lila membuka dengan berhati-hati. Hatinya terus berdebar. Luna dan Leesa juga berdoa agar Lila belanja mereka selepas ini!
   Surat terbuka.
   "Eh? Apa yang dia tulis ni?"
   "Kertas awak terbaliklah.."
   "Oh, maafkan saya. Hihi.."
   Ulang semula. Surat terbuka.
   Apa???
   Buat kesekian kalinya, Lila kecewa.
   "Nampaknya dia permainkan kita.." Lila bersuara. Luna yang dari tadi terdiam pun mula bersuara, "Mungkin dia memang tidak suka 'saya' ". Betula juga ya. Lila terus termenung sendirian. Mood untuk bermain hilang serta merta.
   "Saya tak akan berputus asa!" semangat Lila! Leesa turut menyokong, "Berusaha, Lila!"
   "Tapi, bagaimana? Awak berdua ada rancangan?"
   Tiba-tiba, keluar mentol bercahaya daripada kepala Leesa! Mereka terus berbisik sesama sendiri.
   Permainan seterusnya baru saja bermula.
 
   Keesokkan harinya semasa ketiadaan guru, mereka bertiga meminta izin ketua tingkatan untuk pergi ke tandas. Kononnyalah. Mereka sebenarnya mahu pergi mendapatkan maklumat di bilik guru.
   Guru-guru sedang bermesyuarat. Inilah masa yang paling sesuai. Bukan lagi pada waktu rehat seperti semalam. Tidak dapat makan!
   Mereka segera melangkah berhati-hati. Tiba di sana, mereka mencari buku kehadiran murid setiap kelas. "Abang Elvin kelas apa?"
   "Dia tingkatan 5, kelas pertama", jawab Leesa. Mereka mencari dan terus mencari.
   Jumpa! Mereka pun selak mukasurat paling belakang. Terdapat butiran maklumat penting murid-murid kelas tersebut. Nombor kad pengenalan serta alamat juga ada.
   Hah, ini dia nombor telefonnya! Wah..zaman kegemilangan sudah tiba. Mereka bersorak gembira. Permainan ini harus ditamatkan segera.
   Jangan lupa salin pula.

  Lila berasa sangat bersyukur. Begitu juga Luna dan Leesa. Ternyata usaha mereka tidak sia-sia!
  "Eh, apa yang kamu semua buat di sini?" tegur seorang pengawas yang kebetulan lalu di situ. "Tidak ada apa-apa. Kami cuma menghantar buku rekod saja". Mereka tersenyum lebar, Gigi wajib dipamerkan.
  "Pelik, pelik. Baru sekarang hantar?" pengawas tersebut menggelengkan kepalanya.
  "Kami pergi dulu!"

MUET (Reading & Writing) Test


Disebabkan kebelakangan ni saya rasa malas sikit, jadi saya cuma share sajalah screenshot daripada group Whatsapp saya ni ya haha, maaf. Sumber sebenar saya tak tahu dari mana. Tapi yang pastinya, tips ini bukan daripada saya. Hanya sekadar berkongsi sebagai panduan kita semua :) Ringkas & padat.

Reading Test



Writing Test





Update! Alhamdulillah saya dapat Band 4 dalam MUET =D lagi sikit markah je lagi nak dapat Band 5, lepaslah juga target walaupun tak terer mana hehe

Wednesday, October 26, 2016

FRIENDS-Chapter 3:Taman Hati

   "Luna, boleh saya minta tolong awak?" Lila merayu. "Minta tolong apa?"
   Lila menunjukkan surat tersebut. "Jadi?" "Boleh tak..awak menyamar jadi saya?"
   "Hah?!" terkejut Luna. Biar betul? Tak pernah dia menyamar jadi orang lain. "Awak malu lagikah?"
   Lila mengangguk-anggukkan kepala sambil tersipu-sipu malu. "Awak kan cantik. Buat apa nak malu?" soal Luna bertubi-tubi. Sungguh dia tidak sanggup melakukan pekerjaan ini.
   "Saya cantik?"
   "Yalah. Buktinya, awak dah ada peminat dulu sebelum kami", tegas Luna sekali lagi.
   "Apalah awak ni.. Dia tidak kenal sayalah. Orang macam saya siapa nak kenal. Sebab itu saya minta tolong awak. Sekali saja.. Awaklah sahabat sejati saya". Ceh, masa ini jugalah pandai membodek rakan.
   Luna berfikir sejenak. Buffering..buffering..teruskan buffering! Eh, siapa suruh berhenti?
   Akhirnya, Luna terpaksa menolong rakannya yang pemalu itu. Macam bunga Puteri Malu!
   "Terima kasih Luna.. tapi boleh saya tahu di mana Taman Hati sekolah? Bunyinya macam menarik. Saya ingin juga pergi mengintai", tersengih Lila.
   "Taman Hati sekolah memang cantik. Penuh dengan landskap rumput hijau dan bunga-bunga. Yang paling saya suka, ada banyak rama-rama! Ia ada di tingkat atas sekali. Senang cerita, atas bumbunglah. Ada kolam air pancut kecil sekali. Awak mesti terpegun punya!"
   "Yakah? Tak sabarnya mahu pergi! Lagi sekali, terima kasih Luna. Nanti saya belanja awak. Erm, saya ajak Leesa sekali ya? Bai!" Lila berlalu. Luna berdebar.
   "Eh, kenapa aku bersetuju tadi? Oh tidak!"

   Pada waktu rehat, Luna segera menukar pakaian. Sudah tentulah tidak lain tidak bukan T-shirt pasukan soraknya beserta skirt. Huh..tarik nafas, lepas.
   Sementara itu, di Taman Hati sekolah pula kelihatan Elvin sudah tunggu lama. "Kalau benar perempuan itu Lila, betapa bersyukurnya aku. Tapi kalau bukan.." bisiknya sendiri.
   Tik tok. Tik tok.
   "Hai, abang Elvin! Maaf terlewat.." sapa Luna sopan sambil mengukir senyuman manis. Lebih manis daripada Leesa.
   "Awakkah..Lila?" Elvin terkejut.
   "Ya saya". Luna meneruskan perbualan sambil menikmati pemandangan di situ. 'Aku sangka budak perempuan yang aku langgar tempoh hari. Ternyata anggapanku jauh meleset' hati Elvin terus berbisik sementara Luna sibuk berbual pasal dirinya.
   Pada masa yang sama, mereka diperhatikan oleh Lila dan Leesa dari belakang sebuah pohon yang rendang.
   "Apalah yang mereka bualkan itu.." tanya Lila kepada Leesa. "Ssshhh!!!"
   Burung berkicau. Angin meniup. Masa berlalu. "Aduh, bila nak habis sembang ni?" keluh Lila. Perutnya menyanyi lagu 'Saya Lapar' berulang-ulang kali. Nampaknya waktu rehat ini terpaksa disiakan. "Kalau begitu, apa kata kita jalan-jalan di kawasan lain sebentar. Nikmati pemandangan. Maklumlah, kali pertama awak datang ke sini", ujar Leesa beri pendapat.
   "Bagus juga idea awak. Eh, cantiklah rama-rama itu! Jom kita kejar!" teriak Lila pula teruja. Mereka harus berjalan-jalan jauh dari kerusi rehat yang sedang diduduki Luna dan Elvin. Jauh lagi.
   Luna tersedar. Jam di tangan yang cantik itu meraung-raung meminta wajahnya dilihat. "Jadi, abang Elvin sudah ada kekasih?" soalan terakhir dituju oleh Luna.
   Elvin terdiam seketika. Dia menaruh perasaan terhadap perempuan yang dilanggarnya tempoh hari namun nampaknya perempuan itu sehingga kini masih tidak menunjukkan minat kepadanya. "Tiada", jawabnya ringkas.
  "Ooo..Baiklah. Saya sudah terlewat. Seronok berbual dengan abang Elvin. Saya minta diri dulu!" Luna mengukir senyuman terakhir sebelum berlalu pergi.
  Eh. Apa matlamat sebenar dia datang ke sini ya? Nombor telefon! Ya! Inilah akibatnya berborak terlalu lama sehingga terlupa tujuan utama. Saat yang paling mengerikan.
   "Eh, abang Elvin! Saya minta maaf. Saya terlupa meminta nombor telefon abang Elvin. Jadi, bolehkah?" Luna segera berpatah balik semula.
   Elvin menghulurkan secarik kertas lagi sambil diam seribu bahasa. "Terima kasih", Luna mencapainya. Akhirnya, misi berjaya! Esok pasti Lila membelanjanya!
   Luna menuju ke belakang pohon yang rendang itu. Di mana mereka? "Li..." alamak! Dia tidak boleh menjerit nama Lila kerana Elvin masih berada di situ. Termenung keseorangan. Fokus! Aku sekarang adalah Lila!
   "Leesa!! Di mana awak? Oh Leesa!"
   "Awak! Sudah selesai?" pantasnya Leesa menyahut sementara Lila pula sibuk dengan bunga-bunga yang dipetiknya. Ish..ish..ish.
   "Sudah", Luna tersenyum.
   "Akhirnya!" Lila melompat gembira. Tiba-tiba terhenti seketika. "Erm, saya nak tanya, kenapa taman ini dinamakan Taman Hati?"
   "Mungkin kerana betapa indahnya sehingga memikat hati kita", jawab Leesa bersahaja. "Atau orang yang membina taman ini sedang dilamun cinta?" Lila berfikir. Apa-apa sajalah. Siapalah yang bina taman ini ya..
   Mereka berlalu dari situ dengan ceria. "Kring!!" Masa rehat tamat.
   "Eh, mana nombor telefonnya?"

Tuesday, October 25, 2016

FRIENDS-Chapter 2:Emel

Oh...Lila sudah dilamun cinta. Setiap detik pasti terbayang-bayang wajah Elvin. Tapi, Elvin itu senior. Terkenal pula. Sedangkan Lila pemalu. Jauh bezanya. Jadi, bagaimana?
   Keesokkannya, Leesa dan Luna mula perasan perubahan Lila. Sejak kebelakangan ini dia selalu berangan.
   "Hai, Lila..." sapa Luna.
   Lila tersengih seorang.
   "Lila! Kenapa dengan awak ni?" Luna tidak tahan. "Oh, maafkan saya..hee" Lila tersedar. "Awak nampak seperti sudah mabuk cinta. Siapa orangnya?" Leesa dan Luna pula tersengih. "Malulah.." hesh! Asyik malu saja!
   "Baiklah.Baiklah. Erm, sebenarnya, erm.." Leesa dan Luna merenung Lila.
   "Ingat tak Elvin? Abang Elvin? Erm, semalam saya terlanggar bahu dia. Saya rasa, erm.." Lila tersengih sekali lagi. "Hah? Abang Elvin? Biar betul?" terkejut badak nampaknya mereka berdua. "Oh, abang Elvin memang kacak. Tapi dia suka awakkah?" soal Leesa teruja.
   "Itulah masalahnya. Patut ke saya luahkan perasaan saya? Tapi saya,.."
   "Malu..." sambung Leesa dan Luna. Tahu-tahu saja!
   Buat ke seratus kalinya, Lila tersengih. "Jadi, boleh saya minta tolong awak berdua?" ujar Lila. Dia sudah cukup terhutang budi dengan mereka.
   "Apa dia?"
   Rancangan pun mula diatur.

   Tiba waktu rehat, Leesa mencari gerangan abang Elvin tingkatan 5 itu. Selalunya Elvin berada di gelanggang bola keranjang. Akhirnya, jumpa juga! Langkah pertama bermula.
   Nasib baik Leesa bukan seorang pemalu. "Hai, abang Elvin!"
   "Hai..kamu siapa?"
   "Saya Leesa. Saya datang ke sini, nak beritahu sesuatu. Ada kawan saya yang minatkan abang Elvin. Dia minta emel abang Elvin boleh?" Leesa menguntum senyuman. Bukan seperti bunga yang menguntum ya.
   "Kawan kamu siapa?" soal Elvin ragu-ragu. 'Budak ni kelihatan sebaya dengan perempuan yang aku langgar tempoh hari. Manalah tahu ini kawan dia' bisik hati kecilnya.
   "Err..Lila" jawab Leesa sambil tersenyum sekali lagi.
   "Eh, rehat dah habislah. Jom Elvin, cepat masuk ke kelas!" teriak kawannya menuju keluar dari gelanggang tersebut. Elvin masih terpinga-pinga.
   Leesa pun,..terpinga-pinga. Apa jawapan abang Elvin? Argh, aku gagal! Lila takkan belanja aku!
   Kasihan.
   Misi gagal.

  Di kelas, "Leesa! Leesa! Dah dapat?" Wah, betapa terujanya Lila. Pada masa yang sama, betapa kecewanya Leesa.
   "Maaf.." serentak perkataan itu disebut, air muka Lila terus berubah.
   Lila menjadi murung sehinggalah keesokkan harinya, "Hai Lila..Laa, tak dapat emel pun sedih ke?" sapa Leesa. Lila hanya terdiam saja. "Tapi saya pelik, kenapa awak tak minta nombor telefon dia ya?"
   "Saja-saja.."jawabnya acuh tak acuh. Sebenarnya Lila ini aktif di laman sosial. Ada akaun Facebook. Dia tidak suka main mesej menggunakan telefon bimbit. Biasalah, kredit. Tapi kalau dia dapat nombor telefon Elvin saja pun sudah cukuplah! Dia sanggup habiskan kreditnya.
   "Hmm. Jadi, saya nak beri surat dia ni. Tak tahulah kalau ada tertulis nombor telefonnya. Hihi", ujar Leesa dan pada masa itu juga, mulut Lila ternganga. "Mana? Mana?"
   "Nah! Semoga berjaya", wah..sukanya mereka. Kali pertama dapat surat cinta katakan (memandangkan dia seorang pemalu). Eh, surat cintakah? Ewah..ewah.
   "Ambil cermin mata sekejaplah. Hihi.."

Kalau awak nak nombor telefon saya,
jumpa saya di Taman Hati sekolah
-Elvin- 

Monday, October 24, 2016

FRIENDS-Chapter 1:Bermula di Sini

Al-kisah 3 orang sahabat bertemu dan mencari cinta..Satu pertiga daripada mereka bernama Leesa. Seorang yang pendiam serta berwatak kebudak-budakkan. Seterusnya Luna yang aktif dan gemar mendengar lagu-lagu di radio. Tidak lupa juga, dia seorang yang cantik! Dan akhir sekali Lila...seorang gadis yang pemalu dan juga kreatif. Segalanya bermula di sini...
   Tahun baru sudah menjelma. Cuti pula sudah melambaikan tangannya. Apa lagi? Pergi ke sekolahlah!
   "Luna! Cepatlah Luna! Kita dah lewat ni", teriak Leesa dari beranda luar rumah Luna. "Sabar separuh daripada iman.." eh, sempat pula Luna berfalsafah? "Masa itu emas.." hihi. Leesa pun apa kurangnya.
   Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, mereka berdua berbasikal ke sekolah. Untuk pengetahuan, mereka bukanlah murid-murid top di sekolah ya. Jadi, hakikatnya mereka tidak punya kekasih. Tahun baru, azam baru. Siapa yang tahu?
   Tiba di sekolah, mereka segera menuju ke kelas baharu mereka iaitu tingkatan 2..2..2..ah, tak penting! Sedang mereka berlari-lari anak, mereka terserempak dengan seorang budak perempuan. Comel. Tapi nampaknya hilang arah. Terkaku saja di kaki lima.
   Mereka teruskan pergerakan tanpa pedulikan budak itu. Tapi, "alahai...kesiannya dia. Dia tak jumpa kelaskah?" simpati Luna.
   "Eh, jam di tangan. Tidak mahu dihiraukan!" ujar Leesa pula tergesa-gesa. Luna terus menuju ke perempuan tadi. Urgh, Leesa terpaksa mengikutinya.
   "Er...hai! Awak murid barukah?" Luna memulakan perbualan. Perempuan itu dengan segannya menganggukkan kepala. "Awak tak tahu di mana kelas awak?" Kepala dianggukkan sekali lagi. "Kenapa awak tak tanya dari tadi?"
   "Saya, malu..." ish ish ish, itulah akibatnya. Malu bertanya sesat jalan.
   Leesa sudah tidak sabar. "Jadi, awak kelas mana? Cepatlah beritahu!" "Err...tingkatan 2..2..2..err, saya lupa", tunduk perempuan tersebut. Sambungnya semula, "yang saya ingat kelas pertama".
   "Hah! Kelas kamilah itu. Cepatlah ikut!" geram Leesa. Luna terus berjalan bersama perempuan tersebut yang bernama,..apa ya?
   "Eh, lupa pula. Saya perlu panggil awak apa?" Luna meneruskan perbualan. Leesa pula maju ke hadapan. "Lila.." jawabnya ringkas.
   "Oh. Nama saya pula Luna. Kawan saya yang tidak sabar ni pula Leesa. Selamat berkenalan", Luna terus memperkenalkan dirinya tanpa ditanya. Al-maklumlah, malu bertanya katakan.
   Akhirnya, sampai juga ke tingkatan 2 'tak penting'! Semalu-malu Lila, bukannya dia tidak pandai menyebut, "err..terima kasih Luna, Leesa". Luna tersenyum. Leesa tertidur. Tertidur?
   Nampaknya Leesa sudah mencari tempat duduk dulu. Belum sempat Luna dan Lila meletakkan beg, "Selamat pagi, cikgu!" Huh..
   Lila berasa sangat bersyukur bertemu Luna dan Leesa. Tanpa mereka, dia pasti sesat. Ingin saja dia menghulurkan tangan tanda persahabatan. Tapi, malu...
   Sedang leka berangan ketika sesi pembelajaran, Lisa terasa merindui tandas. Dia sudah tidak tahan! "Cikgu, saya ingin ke tandas..ss..saya dah tak tahan.."
   "Baiklah. Baiklah. Cepat!"
   3 jam kemudian, eh maksud saya 3 minit kemudian, Lila selesai melepaskan hasratnya. Ketika melangkah keluar dari tandas, tiba-tiba Lila terlanggar seorang lelaki yang...kacak! Mata mereka bertentang. Adakah ini cinta pandang pertama?
   "Err..maafkan saya. Saya tidak se.."
   "Hai Elvin! Mari sini!"
   "Eh, mana lelaki tadi?" Rupa-rupanya lelaki tadi tidak sempat mendengar kata Lila.
   Fuh..hilang rasa malu Lila. Tidak pernah dia rasa semalu begini! Tiba-tiba dia terperasan lelaki tadi berlalu sambil memerhatikannya. Memang sudah tidak disangkal lagi, mereka rasa sesuatu. Rasa yang mereka sendiri pun tidak tahu.. Anda tahu?
   Lila terkaku seketika. "Kring!!" Rehat menjelma. Lelaki tadi masih kelihatan dari jauh.
   "Lila, awak termenung siapa tu?" sergah Luna. "Err..entah. Namanya Elvin. Hihi", Lila..oh Lila..
   "Hah? Abang Elvin? Dia pelajar tingkatan 5 yang terkenal tau!" Leesa mencelah. "Yakah?" Lila terdiam.
   "Jadi, kenapa dengan dia, Lila?" soal Luna.
   "Tidak ada apa-apa..Jom kita makan!" Lila segera menukar topik. Kantin pula segera dipenuhi. Eh, mereka sudah bersahabatkah sekarang ini?
   Mungkin.

Saturday, October 22, 2016

Praktikal Lesen Memandu B2 (Motorsikal)

Pusat Latihan Memandu di Krubong
Setelah berbulan lamanya tak sambung kelas memandu selepas LULUS Ujian Komputer dulu, baru sekarang wujud semula semangat tersebut hahaha... Kalau nak diikutkan hati, rasa malas sesangat tapi fikirkan ayah dah bayar banyak sebelum ini, takkan nak berhenti sampai di sini saja? Lagipun, terkadang jealous juga lihat kawan-kawan semua dah ada lesen kereta, boleh pergi ke mana-mana. Memandangkan sekarang tengah cuti sem, inilah masanya yang sesuai!

   Bertemu dengan cikgu Zack (ceteka laki ke perempuan :') dan bersama ahli kumpulan yang baru dikenali, suatu pengalaman baru buat saya. Rasa segan juga, yelah mesti ramai muda-muda budak sekolah lagi kan? Ingatkan kita yang paling tua, rupanya ada juga seorang akak yang dah habis sekolah seperti saya, namanya Shida (umur 20) Sepanjang hari itu, memang rapat dengan dialah, nasib baik ada kawan... Pelbagai cerita yang dikongsi bersama (rasanya tak perlu nak cerita kat korang lah kan? Haha)

   Rasanya takdelah benda menarik pun hari ni, cuma saja nak kongsi pengalaman baru... 1st kitaorang buat bahagian 3 dulu (praktikal di jalan). So far, semuanya okay, just ikut je arahan orang depan. Ala, benda yang basic, pusing-pusing kat jalan, bagi signal, pandang kiri kanan, masuk gear bagai. Senang je InshaaAllah :D Bahagian 2 yang agak ditakuti sebenarnya, sebab terdapat 6 elemen.
  1. Menunggang di atas titi (sekurang-kurangnya mesti lebih 7 saat)
  2. Menunggang rintangan antara kon (slalom)
  3. Membrek (kecemasan, mesti guna gear 1,2 & 3 sebelum berhenti)
  4. Menunggang di laluan tidak rata (bonggol tajam mangai haha sakit pungkok)
  5. Membuat pergerakan angka 8 (boleh tahan senang)
  6. Menunggang di selekoh tajam (not bad...)
   Alhamdulillah, dapat lalui semuanya dengan lancar. Cuma 1st time try tuh, mestilah ada salah kan? Haha normal lah tuh, manusia mana yang tak buat silap cehh. Sebab tuhlah rasa nak praktis lagi lepas ni, rasa belum cukup puas dengan prestasi sendiri. Satu perkara yang kurang menyenangkan hari ni adalah banyak masa terbuang (dalam tempoh 9 jam setengah tuh) menunggu, menunggu & menunggu. Huh, sesungguhnya penantian satu penyeksaan (haha gurau). Tapi apa yang bestnya, hari ni dapat lesen L! YEAY AKHIRNYA!!!

   Banyak lagi perkara yang menyeronokkan, takut cerita panjang lebau kang korang pula yang malas baca haha... Berjumpa kawan baru, melayan perangai mereka bermacam-ragam & juga termasuklah selalu ditegur oleh seorang cikgu ni. Banyak nau dia tanya macam-macam pasal kita. Bosan pula nak jawab banyak kali haha. & apa yang paling mengharukan hari ni adalah,....

ADA ORANG PUJI SENYUMAN KITA MANIS! Hehehe :3 Terima kasih


Thursday, October 20, 2016

Dunia Semakin Tenat

Dunia sedang tenat
Akhirat masih menanti dan melihat

Para ulama', orang soleh ramai yang wafat
Manusia yang hidup sihat walafiat
Menghirup udara segar tiada tersekat
Lalai serta leka menuju lorong yang sesat
Terus bergelumang dengan dosa dan maksiat
Menjadi kebiasaan kepada setiap umat
Tidak mensyukuri kurniaan nikmat
Lalu mengabaikan didikan terhadap zuriat
Mencontohi ikutan budaya kuning dari Barat
Maruah diri hilang begitu mudah, begitu cepat
Jenayah berleluasa di segenap tempat
Al-Quran tidak dijadikan ubat
Sunnah tidak diambil sebagai makrifat
Mereka tidak sedar hingga tibanya saat
Maut memanggil pada waktu yang tepat
Tidak kira yang lemah atau kuat
Akhirnya akan diseksa dengan pedih yang amat
Ketika itu mereka terlalu lewat
Untuk memohon ampun dan bertaubat
Kerana pintu kemaafan telah tertutup rapat

Sesungguhnya sedarlah wahai sahabat
Dunia semakin tenat

Guruku

Pernah aku mengenali
mendalami, mendekati
mempelajari, menyayangi
mendoakan seorang insan
yang sememangnya tidak layak
bergelar guru
tetapi sesungguhnya
lebih daripada itu

Oh tidak akan terpadam
segala butir memori bersamamu
saat kau melimpahkan rasa kasih
dengan memimpinku
mewarnakan perjalanan hidupku
mencorak bentuk masa depanku
dan saat kau memarahiku
semuanya masih menari-nari di minda
masih hingga kini
kerana dikau lebih daripada
lilin yang membakar diri

Di sini
aku mencoret sekeping puisi
hanyalah untuk mengingatkanmu wahai guruku
bahawa anak muridmu ini
sentiasa merinduimu
Alangkah indahnya
jika aku dapat membalas jasa dan pengorbananmu
suatu hari nanti
di syurga firdausi

Kasih Ibu

Dahulu
Kelihatan dua orang insan
yang selalu berpegangan tangan
berjalan menuju ke destinasi yang diimpikan
Seorang ibu muda
sedang memimpin tangan anak kecilnya
sambil bergelak ketawa

Tidak lama kemudian
kelihatan pula dua orang insan
yang mengeratkan lagi pegangan tangan
berjalan dengan penuh kegembiraan
seperti sepasang sahabat
Seorang wanita dewasa
beriringan bersama anak gadisnya
yang semakin menginjak remaja

Kini
daku pula melihat
masih lagi dua orang insan
yang sama berpegangan tangan
Seorang wanita dewasa
memimpin tangan ibunya
yang semakin tua
wajahnya berkedut seribu rupa
Namun ku tahu
terdapat secebis senyuman
di sebalik rahsia wajahnya

Hanya Seketika

Tidak lama lagi
Aku bakal bertemu sang mentari
Tidak lama lagi
Aku bakal melihat betapa luasnya langit ini
Tidak lama lagi
Aku akan dilahirkan oleh seorang
yang bergelar ibu
Terima kasih ibu
Akanku balas jasamu
sesudah kelahiranku
Akanku kenang pengorbananmu
yang besar itu

Akhirnya masa yang dinantikan tiba jua
Oh dunia, nantikan aku di sana!
Namun setelah aku lahir
mengapa tiada sahutan azan menyambutku
mengapa aku dicampak begitu jauh
mengapa aku dipisahkan daripada ibu
Apa salahku apa dosaku
Dan serta-merta dunia melambai-lambai
meninggalkanku

Tuhan, terima kasih kerana telah memberiku kehidupan
walau hanya seketika saja
Maafkan aku ibu
kerana membebankanmu untuk mengkandungku
Mungkin aku tidak layak dilahirkan
Siapalah aku
Seandainya aku tidak dapat bersama ibu di dunia ini
Moga aku dapat hidup bersamamu di syurga nanti

Puisi Untukmu

Dari kecil kita bersama
Mendaki gunung merentas dunia
Kini tiba masanya
Kita berpisah selama-lamanya
Untuk mengejar cita-cita

Ku teringat dan terkenang lagi
Saat bahagia kita bersama
Waktu kita mewarnai dunia
Ditempuhi dugaan serta cabaran
Namun persahabatan kita
tetap berkekalan

Kini siapa disisiku
Di mana kenangan kita dahulu
Dan,...ke manakah hala tujuku

Oh ku teringat dan terkenang lagi

Wednesday, October 19, 2016

Belon



“Saya nak jadikan bilik tidur yang lebih ini sebagai perpustakaan”. “Mana boleh! Bilik tidur tetap bilik tidur. Kita boleh jadikannya bilik tidur untuk tetamu”, ujar Krishna kepada Arveen. Sepasang suami isteri muda yang baru berkahwin sedang bertelingkah di dalam bas. Bertelingkah tentang bilik di rumah baru mereka nanti.

   “Jadi, saya nak baca buku di mana?” “Takkan di ruang tamu pun tak boleh?” tanya Krishna geram. Hati Arveen semakin panas. Ditambah dengan ego tingginya yang tidak mahu mengalah. “Tak boleh! Bising!” “Bolehlah!” Mereka terus bertengkar. Makanan yang diletak di kaki mereka, ditendang sedikit ke belakang oleh Arveen. “Awak, jangan buat macam tu!” kata Krishna dengan nada yang semakin tinggi. “Sempitlah..” jawab Arveen pula. “Tapi tu kan makanan”. “ Saya kata sempit, sempitlah!” Krishna sudah tidak tahan lagi. Dia mengambil makanan tersebut lalu meletakkannya di tempat duduknya. Dia pun beredar ke tempat duduk lain yang jauh di belakang. Arveen terkedu keseorangan.

   Di belakang, Krishna ternampak seorang pakcik yang memegang banyak belon. Belon berwarna merah dan bergambar senyuman. Dia berasa pelik lalu menegur pakcik tersebut, “Pakcik, boleh saya tahu nama pakcik?” Pakcik itu tersenyum memandang Krishna. “Nama pakcik, Ravi. Anak ni siapa?” “Saya Krishna”, jawab Krishna sambil membalas senyuman pakcik Ravi.

   Bas terus bergerak. “Pakcik nak buat apa dengan belon-belon ni?” soal Krishna. Buat kesekian kalinya, pakcik itu tersenyum. “Pakcik nak bagi isteri pakcik”, jawabnya. “Isteri pakcik? Kenapa?” Krishna pelik. “Sebab inilah satu-satunya cara untuk pakcik pujuk dia”. Kening Krishna semakin berkerut. “Kami sedang bergaduh. Biasalah, bergaduh kerana hal yang remeh temeh sahaja. Bergaduh tentang makanan, bergaduh tentang pakaian, bergaduh tentang bilik”, sambungnya sambil tidak berhenti mengukir senyuman. Krishna tekun mendengar. “Kami pernah juga bergaduh berebut tempat kanan di atas katil. Pakcik nak tidur belah kanan kerana tandas dekat di sebelah kanan tetapi isteri pakcik tidak mahu mengalah. Akhirnya keesokan hari, pakcik tersedar yang pakcik sudah terjatuh di atas lantai. Haha!” gelak pakcik Ravi mengenangkan peritiwa tersebut. Krishna turut sama tergelak kecil.

   Sambung pakcik itu lagi, “Kadangkala isteri pakcik merajuk sehingga tidak bercakap dengan pakcik selama 2 hari. Haha! Jadi, setiap kali dia merajuk, pakcik pasti akan pergi beli belon untuknya”. “Isteri pakcik suka belon, ya?” tanya Krishna yang semakin berminat mendengar cerita pakcik tersebut. Pakcik Ravi mengangguk perlahan. “Bila pakcik merajuk, senang saja dia pujuk pakcik. Dia akan masak makanan kegemaran pakcik dan menyelitkan sekeping kad bertulis, “I’m sorry”. Tetapi bila dia merajuk, pakcik terpaksa belikan dia belon yang banyak”. Krishna ketawa sekali lagi. “Okeylah juga tu. Beli belon saja”. “Eh, tak!” pintas pakcik tersebut. “Susah. Pakcik terpaksa menaiki bas selama beberapa jam untuk pergi pekan yang jauh daripada rumah pakcik. Pakcik juga mesti kena beli 11 biji belon. Kalau tidak, isteri pakcik tentu akan terus merajuk”. Ketawa pakcik itu pula. Krishna terus bertanya, “Tetapi saya tengok, macam lebih daripada 11 biji saja”.

   “Oh, pakcik sengaja beli lebih-lebih sebab kadangkala dalam perjalan balik, pasti ada beberapa biji belon yang pecah. Pernah suatu hari, pakcik pulang dengan belon yang kurang daripada 11. Isteri pakcik menyuruh pakcik  berpatah balik dan belikan semula belon yang baru. Haha!” Krishna merenung pakcik itu. Dalam diam, dia berasa kagum dengan pakcik Ravi yang amat menyayangi isterinya itu sehingga sanggup berbuat apa saja untuk isterinya.

   “Sayang juga pakcik kepada isteri pakcik, ya”, Krishna mengukir senyuman. Pakcik Ravi tersenyum sekali lagi mengenangkan saat-saat manis bersama isteri tercintanya. Suasana menjadi sunyi seketika. Tiba-tiba pakcik Ravi bertanya, “Kamu bergaduh dengan suami kamu ke?” Krishna terkejut. “Bagaimana pakcik tahu?” “Tadi pakcik nampak kamu duduk dengannya tapi sekarang kamu beralih tempat pula. Kenapa?”
  
   Krishna terdiam. Dia menarik nafas yang dalam. “Kami bergaduh tentang hal yang remeh temeh juga”, keluhnya.  Pakcik tersebut mengangguk sedikit seolah-olah dia memahami gelora di hati gadis itu. “Kalau bergaduh, jangan lama-lama. Berbaiklah semula selagi ada masa”, nasihatnya. “Perkahwinan pakcik sudah hampir mencecah 30 puluh tahun. Dalam setahun, pasti ada beberapa kali kami merajuk. Haha!” Sambungnya semula, “Kini isteri pakcik sudah tidak boleh kata apa lagi”. Dia tersenyum sendirian. Krishna terus mendengar.

   “Pakcik nasihatkan kamu pujuklah suami kamu tu, ya”, ujarnya semula. Krishna menguntum senyuman sekali lagi. “Pom!!” Tiba-tiba, 1 belon pecah. “Hahahaha!” Mereka berdua ketawa serentak. “Kan pakcik dah kata”, kata pakcik tersebut sambil meneruskan ketawanya. Dia berkata lagi, “Kalau kamu nak, ambillah satu daripada belon pakcik ini untuk beri kepada suami kamu tu”. “Tak mengapalah, pakcik. Saya akan masak makanan yang sedap untuknya ketika sampai di rumah nanti”, Krishna menolak pelawaan pakcik tersebut dengan baik. Dia membetulkan rambutnya yang sedikit kusut ditiup angin. Dia memerhatikan Arveen yang jauh dihadapan dalam-dalam.

   Akhirnya, bas berhenti sebentar di satu perhentian. Ramai penumpang turun untuk pergi ke tandas, berehat dan ada juga yang membeli makanan. “Pakcik pergi dulu, ya?” Pakcik Ravi pun turun bersama belonnya. Krishna hanya memerhatikan langkah pakcik tersebut sambil tersenyum. Tiba-tiba, dia ternampak sekeping kad bertulis “I’m sorry” tertinggal di atas tempat duduk pakcik itu. Dia segera mengambilnya lalu turun untuk mencari pakcik tersebut.

   “Mana pakcik tu pergi?” bisik Krishna sendirian. Dia melangkah dan terus melangkah sehingga tiba di satu tempat perkuburan. Dia agak terkejut apabila melihat pakcik Ravi menziarahi satu kubur di situ. Dia hanya memerhati setiap tingkah pakcik itu dari jauh.

   “Sayang, saya dah sampai. Ini dia belon untuk awak. Kali ini saya bawa cukup 11 biji. Nasib baik saya beli belon lebih untuk awak tadi”. Krishna terpaku. “Dah lama saya tak jumpa awak. Hah, sayang. Sekarang saya sudah tidur di bahagian kiri katil. Saya dah tak kisah jika tandas lebih jauh daripada saya. Saya juga dah menanam pokok kegemaran awak, pokok orkid di hadapan rumah. Saya dah banyak kali membersihkan rumah, mengemas rumah, mencatikkan rumah”. Pakcik tersebut menarik nafas. Dia cuba senyum sedaya upaya yang boleh.

   “Saya juga ada bawakan kad untuk awak”. Pakcik Ravi mencari kadnya. “Alamak, mungkin saya tertinggal kad di dalam bas tadi. Maafkan saya ya, sayang. Esok saya belikan yang baru. Saya janji saya akan gantikan 2, nak? Maafkan saya, ya”. Krishna berasa sangat terharu ketika memerhatikan tingkah laku pakcik tersebut. Barulah dia faham, pakcik tersebut mengajarnya untuk berbaik-baik dengan pasangan kita sebelum terlambat. Mengajar untuk mencintai dan menerima pasangan kita dengan seadanya.

   Krishna meninggalkan kad tersebut di tempat perkuburan itu lalu beredar dari situ. Pakcik Ravi terus duduk di sebelah kubur isterinya itu. Wajahnya kelihatan sedih. “Saya rindukan awak”.

   Krishna segera menaiki semula bas tadi apabila bas hendak bertolak. Semua penumpang menaiki semula bas apabila mereka sudah selesai dengan segala urusan mereka. Krishna melabuhkan punggung di sebelah suaminya yang sedang tertidur. Dia memeluk lengan Arveen dengan erat. Arveen terjaga. Krishna  berkata, “Saya minta maaf, abang”. Arveen berasa terkejut dan terharu pada masa yang sama. “Saya pun”.

Digubah oleh Nuraina 
Idea asal dari sebuah drama pendek

Geng Kek Cawan



"Apa? Mereka bercadang menjual kek cawan pada hari kantin?" bentak Mr Macho selaku ketua Geng The Mr selepas mendapat berita buruk daripada Mr Tuff. Mr Cool bersuara, "ini tidak boleh jadi! Kita mesti fikirkan sesuatu". "Jadi apa kita perlu buat?" soal Mr Tuff bingung. Mereka berfikir sejenak sambil mengurut dagu mereka. Tidak lama kemudian, "hah! Aku ada idea! Apa kata..." Mr Cool yang baru mendapat rancangan berbisik kepada rakan-rakannya. "Baiklah, kita mulakan misi ini esok! Tak sabar aku nak tengok mereka tumpas", kata-kata Mr Macho disambut ketawa jahat Mr Cool dan Mr Tuff.
                                                                                                     
         Keesokkan harinya, Mimi berjumpa dengan Tina dan Suzie pada waktu rehat di kantin untuk memaklumkan sesuatu. Dia menyertai rakan-rakannya yang sedang makan nasi ayam bersama air sirap itu. "Tina, Suzie. Maaflah saya tak dapat menyertai kamu berdua pada petang ini untuk menyiapkan kek cawan". Tina dan Suzie berasa hairan. Belum sempat mereka bertanya sebabnya Mimi menambah, "kerana petang ini saya ada kelas tambahan. Mungkin saya dapat singgah sebentar saja selepas tamat kelas tambahan sebelum kamu semua balik. Maaf ya.. Kali ini saja", rayu Mimi sambil mempamerkan mimik muka kasihan. Tina pun berseloroh, "oh, ini mesti kes awak tak siapkan kerja sekolah Fizik!" Dengan pantasnya Mimi menekup mulut Tina yang bising itu semata-mata mahu menutup malunya. "Baiklah, Mimi", ujar Suzie yang cuba menahan ketawa melihat gelagat dua rakannya itu. Mimi berasa lega.

         Pada petang itu, Tina dan Suzie sedang menghasilkan adunan kek cawan berperisa coklat. Tanpa mereka sedari, ada mata yang memerhati mereka di dalam bilik masakan. "Hei kawan, jomlah bertindak sekarang", bisik Mr Tuff perlahan. "Awak butakah? Mereka masih ada disanalah", bantah Mr Macho dengan geramnya. Mr Cool pula berpesan, "apalah kau ini. Tunggulah mereka keluar nanti".

        Tiba-tiba Suzie merasa mahu melepaskan hajat. "Aduh, Tina. Awak boleh temankan saya pergi ke tandas? Saya rasa tak tahan ini", tanya Suzie gelisah. "Aduhai. Baiklah, jangan lama-lama ya", jawab Tina. Sementara itu, Geng The Mr ternampak Tina dan Suzie melangkah keluar dari bilik masakan. Mereka bertiga yang menyangkung di belakang pokok berdekatan bilik itu segera masuk ke dalam dengan berhati-hati. Mr Cool mengeluarkan sebuah paket yang berisi garam. Mr Macho mengambil segenggam garam dari dalam paket itu lalu memasukkan ke dalam adunan kek cawan sebelum mengacaunya. Mr Tuff pula sibuk memerhatikan keadaan sekeliling. Bimbang ada yang melihat perbuatan mereka.

       "Akhirnya kita berjaya", bisik Mr Tuff di telinga rakan-rakannya. Mereka tersenyum puas. Semasa mereka berpusing ke belakang, mereka ternampak sesusuk tubuh yang sedang bercekak pinggang di hadapan pintu. Wajah mereka serta merta berubah. "Amboi, sedap tak adunan itu? Dah rasakah belum?" Kecut perut mereka mendengar soalan itu. "Buat apa kami rasa? Dah ada garam mestilah masin", Mr Tuff terlepas cakap. Mr Macho mengetuk kepalanya manakala Mr Cool menjeling tajam ke arah Mr Tuff. Mereka sudah mati punca. "Terima kasih Mr Tuff. Saya akan laporkan kepada Cikgu Molee sekarang juga. Tunggulah!" ugut Mimi lalu meninggalkan bilik itu untuk berjumpa guru disiplin. "Aduh, kenapa tak jaga pintu tadi?" Mr Macho memarahi Mr Tuff. Mr Cool menggeleng-geleng kepalanya. "Habislah kita", keluh mereka serentak sambil membayangkan akan kegarangan Cikgu Molee yang bermisai tebal itu.

      Pada hari itu juga, Geng The Mr disingkirkan dari projek hari kantin sebagai hukuman setimpal untuk mereka kerana mensabotaj projek Tina, Suzie dan Mimi. Kali ini Mimi pula tersenyum puas. Tina dan Suzie yang baru saja sampai terpinga-pinga tidak mengetahui kejadian yang berlaku. "Apa yang berlaku tadi?"


Ditulis oleh, 
Nuraina, Nurul Fatin Amira & Puteri Nur Afzan

Seutas Jam Tangan



Pada suatu hari,

   “Dila, awak tolong pegangkan jam saya kejap boleh? Saya nak main air laut dengan kawan-kawan lain”, ujar Isya. Dila mengangguk sambil tersenyum. Isya pun berlalu. Ketika Dila sedang seronok melihat rakan-rakannya bermain di tepi pantai, tiba-tiba seorang rakannya yang lain meluru ke arahnya lalu menjiruskan air ke arah Dila.

   “Ahh! Kenapa awak jirus air kepada saya?” terkejut Dila. “Laa, saya nak ajak awak main sekali. Haha… Jomlah Dila!” ajak rakannya. Dila tidak mempedulikan kata-kata rakannya itu. Dia kelihatan sangat panik sambil menggoncang-goncangkan jam tangan Isya yang sudah rosak akibat terjatuh dan dibasahi air. “Aduh, habislah. Macam mana ni?” keluhnya. “Ooops. Sorry… Er, aku blah dulu. Bai!” Rakan tersebut segera meninggalkan Dila.

   Tidak lama selepas itu, muncul Isya. “Hah?! Apa dah jadi dengan jam saya?” jerit Isya. Dila berasa serba salah. “Saya minta maaf, Isya. Saya betul-betul tak sengaja. Nanti saya gantikan baru ya. Tadi sebenarnya…” “Ganti baru? Awak gila ke? Jam ni mahal tau! Argh, geramnya saya!...” belum sempat Dila menghabiskan katanya, Isya sudah memotong. Isya berasa semakin marah. Wajah Dila pula tertunduk ke bawah. Isya memalingkan badannya ke belakang dan bercekak pinggang.

   “Mulai hari ini, awak bukan lagi kawan saya”. Dia terus menuju ke arah kawan-kawannya yang lain bersama jam tangannya yang sudah rosak. Dila berasa sangat sedih mendengar kata Isya yang sangat tajam seperti pisau menusuk kalbunya. Namun, apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

   Masa terus berlalu. Ketika Isya sedang melepaskan geramnya, tiba-tiba Dila datang. “Awak, saya tahu awak bencikan saya. Awak tak nak berkawan baik dengan saya lagi pun, saya redha. Saya terima keputusan awak. Cuma, saya tetap nak ingatkan awak, yang sekarang sudah masuk waktu Asar”, tutur Dila dengan lembut lalu meninggalkan Isya.

   Isya terkedu. Dia merenung seketika jamnya. Kemudian, mengalihkan pandangan ke arah Dila yang sedang beredar dan mengajak rakan-rakan lain turut sama menunaikan solat. “Err… Saya tak boleh solat. Cuti, hehe”. “Malaslah… Nantilah”. Begitulah jawapan mereka. Akhirnya, Dila menuju ke surau berdekatan seorang diri.

   Isya tersedar. Dia berasa terharu kerana hanya Dila saja yang sentiasa mengingatkannya sesuatu perkara penting walaupun Dila tahu Isya bencikannya. Fikirannya memutar semula kenangan lama. Dila satu-satunya sahabatnya yang sentiasa mengingatkannya untuk menyiapkan kerja tepat pada masanya, mengingatkannya untuk makan tepat pada waktunya dan juga mengingatkannya untuk menunaikan solat awal sebaik saja selepas azan. Dia mula sedar, bahawa sahabat baiknya itu jauh lebih bernilai daripada jamnya. “Sahabat jenis apakah aku ini, sanggup memutuskan tali persahabatan hanya semata-mata kerana seutas jam tangan?” terdetik di hatinya.

   Sementara itu, Dila sedang memakai telekung. Tiba-tiba, dia terperasan Isya sudah berada di sebelahnya. “Saya minta maaf, Dila”, ucap Isya menyesal beserta wajahnya yang kelihatan sayu. Hati Dila berasa tersentuh. “Tak mengapa. Jom solat sama-sama”. Isya tersenyum, Dila gembira.

   Akhirnya seusai solat, mereka berjalan beriringan di tepi pantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam. Sesungguhnya, ikatan persahabatan mereka menjadi semakin erat semenjak peristiwa tersebut. “Mulai hari ini, awak jadi jam saya nak tak?”

Dikarang oleh
Nuraina