Wednesday, October 19, 2016

Geng Kek Cawan



"Apa? Mereka bercadang menjual kek cawan pada hari kantin?" bentak Mr Macho selaku ketua Geng The Mr selepas mendapat berita buruk daripada Mr Tuff. Mr Cool bersuara, "ini tidak boleh jadi! Kita mesti fikirkan sesuatu". "Jadi apa kita perlu buat?" soal Mr Tuff bingung. Mereka berfikir sejenak sambil mengurut dagu mereka. Tidak lama kemudian, "hah! Aku ada idea! Apa kata..." Mr Cool yang baru mendapat rancangan berbisik kepada rakan-rakannya. "Baiklah, kita mulakan misi ini esok! Tak sabar aku nak tengok mereka tumpas", kata-kata Mr Macho disambut ketawa jahat Mr Cool dan Mr Tuff.
                                                                                                     
         Keesokkan harinya, Mimi berjumpa dengan Tina dan Suzie pada waktu rehat di kantin untuk memaklumkan sesuatu. Dia menyertai rakan-rakannya yang sedang makan nasi ayam bersama air sirap itu. "Tina, Suzie. Maaflah saya tak dapat menyertai kamu berdua pada petang ini untuk menyiapkan kek cawan". Tina dan Suzie berasa hairan. Belum sempat mereka bertanya sebabnya Mimi menambah, "kerana petang ini saya ada kelas tambahan. Mungkin saya dapat singgah sebentar saja selepas tamat kelas tambahan sebelum kamu semua balik. Maaf ya.. Kali ini saja", rayu Mimi sambil mempamerkan mimik muka kasihan. Tina pun berseloroh, "oh, ini mesti kes awak tak siapkan kerja sekolah Fizik!" Dengan pantasnya Mimi menekup mulut Tina yang bising itu semata-mata mahu menutup malunya. "Baiklah, Mimi", ujar Suzie yang cuba menahan ketawa melihat gelagat dua rakannya itu. Mimi berasa lega.

         Pada petang itu, Tina dan Suzie sedang menghasilkan adunan kek cawan berperisa coklat. Tanpa mereka sedari, ada mata yang memerhati mereka di dalam bilik masakan. "Hei kawan, jomlah bertindak sekarang", bisik Mr Tuff perlahan. "Awak butakah? Mereka masih ada disanalah", bantah Mr Macho dengan geramnya. Mr Cool pula berpesan, "apalah kau ini. Tunggulah mereka keluar nanti".

        Tiba-tiba Suzie merasa mahu melepaskan hajat. "Aduh, Tina. Awak boleh temankan saya pergi ke tandas? Saya rasa tak tahan ini", tanya Suzie gelisah. "Aduhai. Baiklah, jangan lama-lama ya", jawab Tina. Sementara itu, Geng The Mr ternampak Tina dan Suzie melangkah keluar dari bilik masakan. Mereka bertiga yang menyangkung di belakang pokok berdekatan bilik itu segera masuk ke dalam dengan berhati-hati. Mr Cool mengeluarkan sebuah paket yang berisi garam. Mr Macho mengambil segenggam garam dari dalam paket itu lalu memasukkan ke dalam adunan kek cawan sebelum mengacaunya. Mr Tuff pula sibuk memerhatikan keadaan sekeliling. Bimbang ada yang melihat perbuatan mereka.

       "Akhirnya kita berjaya", bisik Mr Tuff di telinga rakan-rakannya. Mereka tersenyum puas. Semasa mereka berpusing ke belakang, mereka ternampak sesusuk tubuh yang sedang bercekak pinggang di hadapan pintu. Wajah mereka serta merta berubah. "Amboi, sedap tak adunan itu? Dah rasakah belum?" Kecut perut mereka mendengar soalan itu. "Buat apa kami rasa? Dah ada garam mestilah masin", Mr Tuff terlepas cakap. Mr Macho mengetuk kepalanya manakala Mr Cool menjeling tajam ke arah Mr Tuff. Mereka sudah mati punca. "Terima kasih Mr Tuff. Saya akan laporkan kepada Cikgu Molee sekarang juga. Tunggulah!" ugut Mimi lalu meninggalkan bilik itu untuk berjumpa guru disiplin. "Aduh, kenapa tak jaga pintu tadi?" Mr Macho memarahi Mr Tuff. Mr Cool menggeleng-geleng kepalanya. "Habislah kita", keluh mereka serentak sambil membayangkan akan kegarangan Cikgu Molee yang bermisai tebal itu.

      Pada hari itu juga, Geng The Mr disingkirkan dari projek hari kantin sebagai hukuman setimpal untuk mereka kerana mensabotaj projek Tina, Suzie dan Mimi. Kali ini Mimi pula tersenyum puas. Tina dan Suzie yang baru saja sampai terpinga-pinga tidak mengetahui kejadian yang berlaku. "Apa yang berlaku tadi?"


Ditulis oleh, 
Nuraina, Nurul Fatin Amira & Puteri Nur Afzan

No comments:

Post a Comment