“Saya
nak jadikan bilik tidur yang lebih ini sebagai perpustakaan”. “Mana boleh!
Bilik tidur tetap bilik tidur. Kita boleh jadikannya bilik tidur untuk tetamu”,
ujar Krishna kepada Arveen. Sepasang suami isteri muda yang baru berkahwin
sedang bertelingkah di dalam bas. Bertelingkah tentang bilik di rumah baru
mereka nanti.
“Jadi, saya nak baca buku di mana?” “Takkan di ruang tamu pun tak boleh?” tanya
Krishna geram. Hati Arveen semakin panas. Ditambah dengan ego tingginya yang
tidak mahu mengalah. “Tak boleh! Bising!” “Bolehlah!” Mereka terus bertengkar.
Makanan yang diletak di kaki mereka, ditendang sedikit ke belakang oleh Arveen.
“Awak, jangan buat macam tu!” kata Krishna dengan nada yang semakin tinggi. “Sempitlah..”
jawab Arveen pula. “Tapi tu kan makanan”. “ Saya kata sempit, sempitlah!”
Krishna sudah tidak tahan lagi. Dia mengambil makanan tersebut lalu
meletakkannya di tempat duduknya. Dia pun beredar ke tempat duduk lain yang
jauh di belakang. Arveen terkedu keseorangan.
Di belakang, Krishna ternampak seorang pakcik yang memegang banyak belon. Belon
berwarna merah dan bergambar senyuman. Dia berasa pelik lalu menegur pakcik
tersebut, “Pakcik, boleh saya tahu nama pakcik?” Pakcik itu tersenyum memandang
Krishna. “Nama pakcik, Ravi. Anak ni siapa?” “Saya Krishna”, jawab Krishna
sambil membalas senyuman pakcik Ravi.
Bas terus bergerak. “Pakcik nak buat apa dengan belon-belon ni?” soal Krishna.
Buat kesekian kalinya, pakcik itu tersenyum. “Pakcik nak bagi isteri pakcik”,
jawabnya. “Isteri pakcik? Kenapa?” Krishna pelik. “Sebab inilah satu-satunya
cara untuk pakcik pujuk dia”. Kening Krishna semakin berkerut. “Kami sedang
bergaduh. Biasalah, bergaduh kerana hal yang remeh temeh sahaja. Bergaduh tentang
makanan, bergaduh tentang pakaian, bergaduh tentang bilik”, sambungnya sambil
tidak berhenti mengukir senyuman. Krishna tekun mendengar. “Kami pernah juga
bergaduh berebut tempat kanan di atas katil. Pakcik nak tidur belah kanan
kerana tandas dekat di sebelah kanan tetapi isteri pakcik tidak mahu mengalah.
Akhirnya keesokan hari, pakcik tersedar yang pakcik sudah terjatuh di atas
lantai. Haha!” gelak pakcik Ravi mengenangkan peritiwa tersebut. Krishna turut
sama tergelak kecil.
Sambung pakcik itu lagi, “Kadangkala isteri pakcik merajuk sehingga tidak
bercakap dengan pakcik selama 2 hari. Haha! Jadi, setiap kali dia merajuk,
pakcik pasti akan pergi beli belon untuknya”. “Isteri pakcik suka belon, ya?”
tanya Krishna yang semakin berminat mendengar cerita pakcik tersebut. Pakcik
Ravi mengangguk perlahan. “Bila pakcik merajuk, senang saja dia pujuk pakcik.
Dia akan masak makanan kegemaran pakcik dan menyelitkan sekeping kad bertulis,
“I’m sorry”. Tetapi bila dia merajuk, pakcik terpaksa belikan dia belon yang
banyak”. Krishna ketawa sekali lagi. “Okeylah juga tu. Beli belon saja”. “Eh,
tak!” pintas pakcik tersebut. “Susah. Pakcik terpaksa menaiki bas selama
beberapa jam untuk pergi pekan yang jauh daripada rumah pakcik. Pakcik juga
mesti kena beli 11 biji belon. Kalau tidak, isteri pakcik tentu akan terus
merajuk”. Ketawa pakcik itu pula. Krishna terus bertanya, “Tetapi saya tengok,
macam lebih daripada 11 biji saja”.
“Oh, pakcik sengaja beli lebih-lebih sebab kadangkala dalam perjalan balik,
pasti ada beberapa biji belon yang pecah. Pernah suatu hari, pakcik pulang
dengan belon yang kurang daripada 11. Isteri pakcik menyuruh pakcik
berpatah balik dan belikan semula belon yang baru. Haha!” Krishna merenung
pakcik itu. Dalam diam, dia berasa kagum dengan pakcik Ravi yang amat
menyayangi isterinya itu sehingga sanggup berbuat apa saja untuk isterinya.
“Sayang juga pakcik kepada isteri pakcik, ya”, Krishna mengukir senyuman.
Pakcik Ravi tersenyum sekali lagi mengenangkan saat-saat manis bersama isteri tercintanya.
Suasana menjadi sunyi seketika. Tiba-tiba pakcik Ravi bertanya, “Kamu bergaduh
dengan suami kamu ke?” Krishna terkejut. “Bagaimana pakcik tahu?” “Tadi pakcik
nampak kamu duduk dengannya tapi sekarang kamu beralih tempat pula. Kenapa?”
Krishna terdiam. Dia menarik nafas yang
dalam. “Kami bergaduh tentang hal yang remeh temeh juga”, keluhnya.
Pakcik tersebut mengangguk sedikit seolah-olah dia memahami gelora di hati
gadis itu. “Kalau bergaduh, jangan lama-lama. Berbaiklah semula selagi ada
masa”, nasihatnya. “Perkahwinan pakcik sudah hampir mencecah 30 puluh tahun.
Dalam setahun, pasti ada beberapa kali kami merajuk. Haha!” Sambungnya semula,
“Kini isteri pakcik sudah tidak boleh kata apa lagi”. Dia tersenyum sendirian.
Krishna terus mendengar.
“Pakcik nasihatkan kamu pujuklah suami kamu tu, ya”, ujarnya semula. Krishna
menguntum senyuman sekali lagi. “Pom!!” Tiba-tiba, 1 belon pecah. “Hahahaha!”
Mereka berdua ketawa serentak. “Kan pakcik dah kata”, kata pakcik tersebut
sambil meneruskan ketawanya. Dia berkata lagi, “Kalau kamu nak, ambillah satu
daripada belon pakcik ini untuk beri kepada suami kamu tu”. “Tak mengapalah,
pakcik. Saya akan masak makanan yang sedap untuknya ketika sampai di rumah
nanti”, Krishna menolak pelawaan pakcik tersebut dengan baik. Dia membetulkan
rambutnya yang sedikit kusut ditiup angin. Dia memerhatikan Arveen yang jauh
dihadapan dalam-dalam.
Akhirnya, bas berhenti sebentar di satu perhentian. Ramai penumpang turun untuk
pergi ke tandas, berehat dan ada juga yang membeli makanan. “Pakcik pergi dulu,
ya?” Pakcik Ravi pun turun bersama belonnya. Krishna hanya memerhatikan langkah
pakcik tersebut sambil tersenyum. Tiba-tiba, dia ternampak sekeping kad
bertulis “I’m sorry” tertinggal di atas tempat duduk pakcik itu. Dia segera
mengambilnya lalu turun untuk mencari pakcik tersebut.
“Mana pakcik tu pergi?” bisik Krishna sendirian. Dia melangkah dan terus
melangkah sehingga tiba di satu tempat perkuburan. Dia agak terkejut apabila
melihat pakcik Ravi menziarahi satu kubur di situ. Dia hanya memerhati setiap
tingkah pakcik itu dari jauh.
“Sayang, saya dah sampai. Ini dia belon untuk awak. Kali ini saya bawa cukup 11
biji. Nasib baik saya beli belon lebih untuk awak tadi”. Krishna terpaku. “Dah
lama saya tak jumpa awak. Hah, sayang. Sekarang saya sudah tidur di bahagian
kiri katil. Saya dah tak kisah jika tandas lebih jauh daripada saya. Saya juga
dah menanam pokok kegemaran awak, pokok orkid di hadapan rumah. Saya dah banyak
kali membersihkan rumah, mengemas rumah, mencatikkan rumah”. Pakcik tersebut
menarik nafas. Dia cuba senyum sedaya upaya yang boleh.
“Saya juga ada bawakan kad untuk awak”. Pakcik Ravi mencari kadnya. “Alamak,
mungkin saya tertinggal kad di dalam bas tadi. Maafkan saya ya, sayang. Esok saya
belikan yang baru. Saya janji saya akan gantikan 2, nak? Maafkan saya, ya”.
Krishna berasa sangat terharu ketika memerhatikan tingkah laku pakcik tersebut.
Barulah dia faham, pakcik tersebut mengajarnya untuk berbaik-baik dengan
pasangan kita sebelum terlambat. Mengajar untuk mencintai dan menerima pasangan
kita dengan seadanya.
Krishna meninggalkan kad tersebut di tempat perkuburan itu lalu beredar dari
situ. Pakcik Ravi terus duduk di sebelah kubur isterinya itu. Wajahnya
kelihatan sedih. “Saya rindukan awak”.
Krishna segera menaiki semula bas tadi apabila bas hendak bertolak. Semua
penumpang menaiki semula bas apabila mereka sudah selesai dengan segala urusan
mereka. Krishna melabuhkan punggung di sebelah suaminya yang sedang tertidur.
Dia memeluk lengan Arveen dengan erat. Arveen terjaga. Krishna berkata,
“Saya minta maaf, abang”. Arveen berasa terkejut dan terharu pada masa yang
sama. “Saya pun”.
Digubah
oleh Nuraina
Idea asal dari sebuah drama pendek
Idea asal dari sebuah drama pendek
No comments:
Post a Comment