Pada
suatu hari,
“Dila, awak tolong pegangkan jam saya kejap
boleh? Saya nak main air laut dengan kawan-kawan lain”, ujar Isya. Dila
mengangguk sambil tersenyum. Isya pun berlalu. Ketika Dila sedang seronok
melihat rakan-rakannya bermain di tepi pantai, tiba-tiba seorang rakannya yang
lain meluru ke arahnya lalu menjiruskan air ke arah Dila.
“Ahh! Kenapa awak jirus air kepada saya?”
terkejut Dila. “Laa, saya nak ajak awak main sekali. Haha… Jomlah Dila!” ajak
rakannya. Dila tidak mempedulikan kata-kata rakannya itu. Dia kelihatan sangat
panik sambil menggoncang-goncangkan jam tangan Isya yang sudah rosak akibat
terjatuh dan dibasahi air. “Aduh, habislah. Macam mana ni?” keluhnya. “Ooops.
Sorry… Er, aku blah dulu. Bai!” Rakan tersebut segera meninggalkan Dila.
Tidak lama selepas itu, muncul Isya. “Hah?!
Apa dah jadi dengan jam saya?” jerit Isya. Dila berasa serba salah. “Saya minta
maaf, Isya. Saya betul-betul tak sengaja. Nanti saya gantikan baru ya. Tadi
sebenarnya…” “Ganti baru? Awak gila ke? Jam ni mahal tau! Argh, geramnya
saya!...” belum sempat Dila menghabiskan katanya, Isya sudah memotong. Isya
berasa semakin marah. Wajah Dila pula tertunduk ke bawah. Isya memalingkan
badannya ke belakang dan bercekak pinggang.
“Mulai hari ini, awak bukan lagi kawan
saya”. Dia terus menuju ke arah kawan-kawannya yang lain bersama jam tangannya
yang sudah rosak. Dila berasa sangat sedih mendengar kata Isya yang sangat
tajam seperti pisau menusuk kalbunya. Namun, apakan daya nasi sudah menjadi
bubur.
Masa terus berlalu. Ketika Isya sedang
melepaskan geramnya, tiba-tiba Dila datang. “Awak, saya tahu awak bencikan
saya. Awak tak nak berkawan baik dengan saya lagi pun, saya redha. Saya terima
keputusan awak. Cuma, saya tetap nak ingatkan awak, yang sekarang sudah masuk
waktu Asar”, tutur Dila dengan lembut lalu meninggalkan Isya.
Isya terkedu. Dia merenung seketika jamnya.
Kemudian, mengalihkan pandangan ke arah Dila yang sedang beredar dan mengajak
rakan-rakan lain turut sama menunaikan solat. “Err… Saya tak boleh solat. Cuti,
hehe”. “Malaslah… Nantilah”. Begitulah jawapan mereka. Akhirnya, Dila menuju ke
surau berdekatan seorang diri.
Isya tersedar. Dia berasa terharu kerana
hanya Dila saja yang sentiasa mengingatkannya sesuatu perkara penting walaupun
Dila tahu Isya bencikannya. Fikirannya memutar semula kenangan lama. Dila
satu-satunya sahabatnya yang sentiasa mengingatkannya untuk menyiapkan kerja
tepat pada masanya, mengingatkannya untuk makan tepat pada waktunya dan juga
mengingatkannya untuk menunaikan solat awal sebaik saja selepas azan. Dia mula
sedar, bahawa sahabat baiknya itu jauh lebih bernilai daripada jamnya. “Sahabat
jenis apakah aku ini, sanggup memutuskan tali persahabatan hanya semata-mata
kerana seutas jam tangan?” terdetik di hatinya.
Sementara itu, Dila sedang memakai telekung.
Tiba-tiba, dia terperasan Isya sudah berada di sebelahnya. “Saya minta maaf,
Dila”, ucap Isya menyesal beserta wajahnya yang kelihatan sayu. Hati Dila
berasa tersentuh. “Tak mengapa. Jom solat sama-sama”. Isya tersenyum, Dila
gembira.
Akhirnya seusai solat, mereka berjalan
beriringan di tepi pantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Sesungguhnya, ikatan persahabatan mereka menjadi semakin erat semenjak
peristiwa tersebut. “Mulai hari ini, awak jadi jam saya nak tak?”
Dikarang
oleh
Nuraina
No comments:
Post a Comment