"Luna, boleh saya minta tolong awak?" Lila merayu. "Minta tolong apa?"
Lila menunjukkan surat tersebut. "Jadi?" "Boleh tak..awak menyamar jadi saya?"
"Hah?!" terkejut Luna. Biar betul? Tak pernah dia menyamar jadi orang lain. "Awak malu lagikah?"
Lila mengangguk-anggukkan kepala sambil tersipu-sipu malu. "Awak kan cantik. Buat apa nak malu?" soal Luna bertubi-tubi. Sungguh dia tidak sanggup melakukan pekerjaan ini.
"Saya cantik?"
"Yalah. Buktinya, awak dah ada peminat dulu sebelum kami", tegas Luna sekali lagi.
"Apalah awak ni.. Dia tidak kenal sayalah. Orang macam saya siapa nak kenal. Sebab itu saya minta tolong awak. Sekali saja.. Awaklah sahabat sejati saya". Ceh, masa ini jugalah pandai membodek rakan.
Luna berfikir sejenak. Buffering..buffering..teruskan buffering! Eh, siapa suruh berhenti?
Akhirnya, Luna terpaksa menolong rakannya yang pemalu itu. Macam bunga Puteri Malu!
"Terima kasih Luna.. tapi boleh saya tahu di mana Taman Hati sekolah? Bunyinya macam menarik. Saya ingin juga pergi mengintai", tersengih Lila.
"Taman Hati sekolah memang cantik. Penuh dengan landskap rumput hijau dan bunga-bunga. Yang paling saya suka, ada banyak rama-rama! Ia ada di tingkat atas sekali. Senang cerita, atas bumbunglah. Ada kolam air pancut kecil sekali. Awak mesti terpegun punya!"
"Yakah? Tak sabarnya mahu pergi! Lagi sekali, terima kasih Luna. Nanti saya belanja awak. Erm, saya ajak Leesa sekali ya? Bai!" Lila berlalu. Luna berdebar.
"Eh, kenapa aku bersetuju tadi? Oh tidak!"
Pada waktu rehat, Luna segera menukar pakaian. Sudah tentulah tidak lain tidak bukan T-shirt pasukan soraknya beserta skirt. Huh..tarik nafas, lepas.
Sementara itu, di Taman Hati sekolah pula kelihatan Elvin sudah tunggu lama. "Kalau benar perempuan itu Lila, betapa bersyukurnya aku. Tapi kalau bukan.." bisiknya sendiri.
Tik tok. Tik tok.
"Hai, abang Elvin! Maaf terlewat.." sapa Luna sopan sambil mengukir senyuman manis. Lebih manis daripada Leesa.
"Awakkah..Lila?" Elvin terkejut.
"Ya saya". Luna meneruskan perbualan sambil menikmati pemandangan di situ. 'Aku sangka budak perempuan yang aku langgar tempoh hari. Ternyata anggapanku jauh meleset' hati Elvin terus berbisik sementara Luna sibuk berbual pasal dirinya.
Pada masa yang sama, mereka diperhatikan oleh Lila dan Leesa dari belakang sebuah pohon yang rendang.
"Apalah yang mereka bualkan itu.." tanya Lila kepada Leesa. "Ssshhh!!!"
Burung berkicau. Angin meniup. Masa berlalu. "Aduh, bila nak habis sembang ni?" keluh Lila. Perutnya menyanyi lagu 'Saya Lapar' berulang-ulang kali. Nampaknya waktu rehat ini terpaksa disiakan. "Kalau begitu, apa kata kita jalan-jalan di kawasan lain sebentar. Nikmati pemandangan. Maklumlah, kali pertama awak datang ke sini", ujar Leesa beri pendapat.
"Bagus juga idea awak. Eh, cantiklah rama-rama itu! Jom kita kejar!" teriak Lila pula teruja. Mereka harus berjalan-jalan jauh dari kerusi rehat yang sedang diduduki Luna dan Elvin. Jauh lagi.
Luna tersedar. Jam di tangan yang cantik itu meraung-raung meminta wajahnya dilihat. "Jadi, abang Elvin sudah ada kekasih?" soalan terakhir dituju oleh Luna.
Elvin terdiam seketika. Dia menaruh perasaan terhadap perempuan yang dilanggarnya tempoh hari namun nampaknya perempuan itu sehingga kini masih tidak menunjukkan minat kepadanya. "Tiada", jawabnya ringkas.
"Ooo..Baiklah. Saya sudah terlewat. Seronok berbual dengan abang Elvin. Saya minta diri dulu!" Luna mengukir senyuman terakhir sebelum berlalu pergi.
Eh. Apa matlamat sebenar dia datang ke sini ya? Nombor telefon! Ya! Inilah akibatnya berborak terlalu lama sehingga terlupa tujuan utama. Saat yang paling mengerikan.
"Eh, abang Elvin! Saya minta maaf. Saya terlupa meminta nombor telefon abang Elvin. Jadi, bolehkah?" Luna segera berpatah balik semula.
Elvin menghulurkan secarik kertas lagi sambil diam seribu bahasa. "Terima kasih", Luna mencapainya. Akhirnya, misi berjaya! Esok pasti Lila membelanjanya!
Luna menuju ke belakang pohon yang rendang itu. Di mana mereka? "Li..." alamak! Dia tidak boleh menjerit nama Lila kerana Elvin masih berada di situ. Termenung keseorangan. Fokus! Aku sekarang adalah Lila!
"Leesa!! Di mana awak? Oh Leesa!"
"Awak! Sudah selesai?" pantasnya Leesa menyahut sementara Lila pula sibuk dengan bunga-bunga yang dipetiknya. Ish..ish..ish.
"Sudah", Luna tersenyum.
"Akhirnya!" Lila melompat gembira. Tiba-tiba terhenti seketika. "Erm, saya nak tanya, kenapa taman ini dinamakan Taman Hati?"
"Mungkin kerana betapa indahnya sehingga memikat hati kita", jawab Leesa bersahaja. "Atau orang yang membina taman ini sedang dilamun cinta?" Lila berfikir. Apa-apa sajalah. Siapalah yang bina taman ini ya..
Mereka berlalu dari situ dengan ceria. "Kring!!" Masa rehat tamat.
"Eh, mana nombor telefonnya?"
No comments:
Post a Comment