Tuesday, October 18, 2016

Detektif Ila & Irah



“Kring!!’’ masa rehat yang tadinya dinanti akhirnya tiba jua. Ila dan Irah, sepasang rakan karib menuju ke tempat yang patut dijaga iaitu,…tangga!! Oh, mereka berdua pengawas rupanya. Semasa pergi ke kantin sebentar untuk membeli makanan, Irah ternampak seorang lelaki dewasa yang tidak dikenali memasuki kawasan sekolah.

   “Eh, siapa dia tu?’’ soal Ila. “Hah, dahlah bawa motosikal pulak tu”, sambung Irah pula. Mereka keliru dengan perwatakan lelaki tersebut. Lelaki tersebut menuju ke kantin lalu cuba menarik perhatian murid-murid di situ.

   “Siapa lapar? Siapa lapar? Pakcik nak bagi makanan ni. Cepatlah! Siapa lapar? Tak apa, jangan malu jangan segan. Ha… Mari sini!’’ panggil pakcik tersebut. Semua murid di situ terpinga-pinga. “Tada!! Ha, pakcik nak bagi roti ni. Cepat, ambillah!’’ sambungnya.  Ila dan Irah pelik. “Apa pasal pakcik tu tiba-tiba bagi sekeping roti Gardenia?’’ soal Irah. “Dah lah tak ada inti pulak tu!’’ soal Ila pula. “Apatah lagi free..’’ sambungnya. Baik hatikah pakcik ni atau,.. sebaliknya?

   Meraka bertambah pelik. “Eh, tak ucap terima kasih pun?’’ ujar pakcik tersebut kepada orang ramai. “Terima kasih..’’ jawab mereka.



Pada keesokkan harinya,..

   “Hei, pakcik tu datang semula”, kata Irah. Mereka berfikir sejenak. “Hah, apa kata kita jadi detektif, nak? Kita siasat niat pakcik tu sebenarnya”, cadang Ila sambil tersenyum-senyum. “Ya tak ya juga. Apa kata kalau…’’ ujar Irah. “Kalau apa?’’

   “Kalau kita catat nombor plat motosikal dia nak? Sebagai permulaan siasatan?’’ sambung Irah. “Bagus! Bagus! Bagus!’’ jerit Ila sekuat hati. Selepas itu, apa lagi?!! Mereka terus jalankan misi mereka. Akhirnya, mereka berjaya mencatat nombor plat motor tersebut. Tiba-tiba,…

   “Hah, tinggal satu je lagi! Kamu nak?’’ soal pakcik tersebut kepada Ila tatkala ternampak Ila dan Irah berdekatannya. Ila tercengang. “Ambillah..’’ sambungnya. Tiba-tiba, Ila tersenyum lalu mencapai roti tersebut. “Terima kasih..’’ jawabnya. “Ila, apa yang awak buat ni?!’’ bisik Irah di telinga Ila. “Saya ambil roti ni sebab …’’ “nak ujikajinya? Wah, awak memang pandai!’’ sambung Irah walaupun Ila belum sempat menghabiskan kata-katanya. “Tahu pun!’’

   Ketika di dalam makmal,.. “Kenapa masih tiada kesan apa-apa? Saya dah uji kajinya berkali-kali”, ulas Ila setelah letih menguji kaji roti misteri itu. “Mungkin pakcik tu tak ada niat jahat kot…’’ ujar Irah. “Atau pun, sebaliknya..’’ sambungnya. Mereka terdiam sejenak. “Apa kata kita laporkan je kepada guru besar? Kan senang?’’ soal Irah. Ila menggeleng lalu menjawab, “kita tiada bukti yang ku..’’ “Ha ah la..’’ pintas Irah kembali. “Tak apalah, loceng habis rehat dah berbunyi”, ujar Ila. “Eh, kita tak dengar pun?’’ soal Irah. “Kring!!!!’’ akhirnya berbunyi juga. 

   Keesokkannya, mereka terus menyambung misi mereka. Pakcik tersebut masih kelihatan lagi. “Macam mana ni?’’ Ila bertanya. Mereka berfikir sejenak. “Hah, cuba kita jumpa salah seorang murid yang telah memakan roti pakcik tu, nak?’’ cadang Irah. “Wah, awak ni pandailah! Lebih-lebih lagi saya merupakan ahli kelab doktor muda, boleh mengkajinya.. Betul tu!’’ sambut Ila keriangan. Mereka menghulurkan tangan lalu berkata, “pas!!! Yeah..’’

   “Tapi, siapa?’’ soal Ila kepada Irah. “Saya tahu! Saya masih ingat lagi yang saya ternampak adik Suraya ambil roti tu. Dia pelajar kelas 2 Hijau”, terang Irah. “Oklah, jom!!’’ Tanpa membuang masa, mereka menuju ke kelas 2 Hijau untuk memantau keadaan adik Suraya. Sesampainya mereka di sana, Ila segera memanggil adik Suraya. “Suraya, kenapa dengan Suraya?’’ soal Ila apabila ternampak adik Suraya mengempis-ngempiskan perutnya seperti menahan sakit yang amat sangat.

   “Suraya sakit perut.. Sakit sangat! Tak boleh tahan’’,  adu budak kecil tersebut. Ila dan Irah berpandangan sesama sendiri. “Adik rasa adik pernah tak makan roti yang seorang pakcik ni bagi dekat kantin?’’ soal Irah pula cuba menyelesaikan masalah. “Pernah. Aduh, sakitnya!..’’ keluh Suraya. “Mari ikut akak. Akak mungkin boleh membantu”, cadang Ila.

   Selepas memeriksa kesihatan dan punca sakit Suraya, Irah bertanya, “Hah, macam mana Ila?’’ “Pada pendapat saya, ia kemungkinan berpunca daripada roti tersebut”, jawab Ila tatkala siap memeriksanya. “Tapi mengapa semasa awak uji kajinya tiada kesan buruk apa-apa?’’ soal Irah pelik. “Hah, saya tahu! Mungkin roti tu akan memberikan kesan pada hari ketiga apabila pakcik tersebut memberinya”, terang Ila. “Huh, pakcik tu sungguh licik! Tapi apa niat dia sebenarnya?’’ Irah mendengus. “Tak apalah, buat masa sekarang ni kita hantar Suraya ke klinik terlebih dahulu sebelum berlaku apa-apa yang lebih teruk lagi”, ujar Irah menukar topik.

   Mereka pun melaporkan hal berkaitan Suraya kepada guru bertugas. Tetapi apabila ditanya mengapa, mereka tidak menceritakan tentang peristiwa roti tersebut. Lalu mereka berjanji mereka akan beritahu guru perkara sebenarnya satu hari nanti. Selepas itu, Ila bertanya, “sekarang kita perlu buat apa?’’ “Apa kata kita cari pakcik tu lalu suruh dia mengaku apa niat dia sebenarnya?’’ ujar Irah. Ila mengangguk. Mereka segera menuju ke kantin mencari pakcik yang,.. apa hah? Hah, pakcik yang licik!! Tetapi malangnya, pakcik tersebut tiada! Oh tidak!! Dah larikan diri ke? Mereka bertanya serentak. “Bagaimana ni?..’’ keluh Irah.

   Mereka tetap berfikir. “Huh, dia sungguh bernasib baik! Patutlah dia menghilangkan diri selepas tiga hari kerana roti tu akan berkesan pada hari yang ketiga”, ujar Ila. “Ha ah la..’’ Irah berkata. Irah menyeluk poketnya sengaja. Tiba-tiba, dia terperasan kertas yang tertulis sebuah nombor plat. “Eh, ni nombor plat motorsikal pakcik tu kan?’’ soal Irah sambil tersenyum sinis. “Oh ye..’’ Ila pun turut tersenyum seolah-olah mereka bersependapat idea yang sama. Anda fikir apa dia?

   “Kita akan cari di internet! Yeah..’’ mereka menjerit serentak. “Jom, sebelum loceng habis rehat berbunyi”, ujar Ila. Mereka segera menuju ke makmal komputer. Seterusnya, mereka duduk di kerusi lalu menaip laman web yang boleh menolong mereka. Sekarang mereka hanya perlu mencari alamat pakcik tersebut menggunakan pemilik nombor plat tersebut. “Dah dapat!’’ ujar Irah. Ila merenung skrin komputer. “Bagus, tapi kita patut cari alamat ini lepas habis sekolah”, cadang Ila. “Tapi awak tahu ke di mana terletaknya alamat rumah ini?’’ soal Irah sambil memegang tetikus lalu menutup komputernya. “Ya, dekat je dengan sekolah ni.. Jangan risau!’’ jawab Ila. Mereka segera memasuki kelas tatkala loceng habis rehat pun berbunyi.

   Waktu tamat persekolahan, mereka segera pergi ke hadapan perhentian bas sekolah. “Jadi sekarang bagaimana?’’ soal Irah kembali. “Mari ikut saya”, ujar Ila sambil menatap kembali alamat pakcik licik itu. Irah sekadar mengikut arah Ila. Mereka menaiki jejantas, melalui sebuah kampung yang hanya beberapa meter sahaja daripada kawasan sekolah. Mereka memerhati satu persatu rumah yang berada di kampung tersebut. “Hah, ini dia! Rasanyalah..’’ Ila berkata. Irah memandang halaman rumah yang usang itu. “Itu motosikal dia kan?’’ tanya Irah. “Betullah tu..’’ sambungnya semula. Mereka menarik nafas dalam-dalam lalu memberi salam, “assalamualaikum…’’ Kelihatan pakcik tersebut menjawab salam, lalu terkejut dengan apa yang berada di hadapannya. Kemudian, rancangan pun diatur oleh Ila dan Irah.

   “Jadi kamu berdua ni nak makan lagi sekalilah roti pakcik tu ya?’’ soal pakcik tersebut. Mereka mengangguk. “Huh, nampaknya roti tu tak berkesan lagilah pada mereka ni. Tak mungkin..’’ hatinya berbisik. “Baiklah, pakcik akan berikan kepada kamu berdua esok hari, ya.. Tetapi di luar sekolah tau!’’ ujarnya sekali lagi. “Ok! Tak sabar rasanya”, mereka berkata serentak. “Hmm..’’

   Keesokkannya, seperti yang dijanjikan, mereka menunggu di luar sekolah pada waktu rehat. “Pakcik tu tak sampai lagilah..’’ rungut Irah. “Harap rancangan kita berjaya. Hah, itupun dia!’’ ujar Ila. Mereka tersenyum kepada pakcik tersebut yang sedang memakirkan motornya. “Ini dia roti tu. Pakcik pergi dulu ya,..’’ ujar pakcik tersebut. “Eh, tunggu sebentar, pakcik!’’ Ila berkata. “Guru besar nak bertemu dengan pakcik”, sambung Irah sambil tersenyum. “Ya, katanya roti pakcik tu sedaplah..’’ sambung Ila pula. Pakcik tersebut mengeluh kecil lalu sekadar mengikut mereka dengan senyuman yang dibuat-buat. “Marilah ikut kami”. Mereka menuju ke makmal sains lalu menyuruh pakcik tersebut tunggu sebentar. “Sekejap ya, pakcik..’’ ujar Ila lalu dengan pantasnya segera mengunci pintu makmal sains. “Bung!” “ Yes, akhirnya kita dapat juga menangkap pakcik tu kan, Irah”, ujar Ila lalu menoleh ke belakang. “Irah, dimana awak? Irah!’’ Ila berasa cemas.

   “Ila, saya di dalam! Cepat buka pintu ini!!’’ jerit Irah dari dalam makmal sains sambil mengetuk-ngetuk pintu. Oh tidak, rupa-rupanya Irah masih di dalam! Pakcik tersebut menuju ke arah Irah lalu mengeluarkan sebilah pisau kecil sambil tersenyum sinis. “Oh, pandai kau mempermainkan aku ya..’’ ujar pakcik tersebut. “Alamak!!’’ Ila segera membuka kunci pintu tersebut dengan tangan bergetar-getar. Tiba-tiba, kunci tersebut jatuh ke dalam longkang yang dalam. “Oh tidak, bagaimana ni?!’’ Ila semakin cemas. “Ila, cepat!!’’ jerit Irah sepenuh hati. Ila segera berlari menaiki tangga menuju ke bilik guru untuk berjumpa Cikgu Taufiq yang memegang ekstra kunci makmal sains. Irah berasa sangat takut! Pakcik tersebut semakin dekat ke arahnya. “He, he, he..’’

   “Hai yah!!’’ Irah segera menendang pakcik tersebut menggunakan teknik taekwandonya. “Aduh,..’’ pakcik tersebut rebah ke bumi bersama pisau kecilnya.. Irah menarik nafas panjang. Huh, nasib baik! Terdetik hatinya. Lalu Ila pun sampai bersama Cikgu Taufiq berserta segugus kunci. Dia segera membuka pintu bilik sains. “Awak tak apa-apa, Irah?’’ Irah sekadar mengukir senyuman. Keadaan menjadi aman..

   Pihak polis sampai di tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada pihak sekolah lalu memberkas pakcik tersebut yang baru sedar dari pengsannya. “ Terima kasih, kamu berdua merupakan detektif kecil yang sungguh handal”, puji salah seorang polis kepada Ila dan Irah. Mereka tersenyum bangga. Lalu Ila bertanya, “Pakcik, mengapa pakcik melakukan semua ini?’’ Pakcik tersebut hanya tertunduk diam seribu bahasa. Lalu mengikut langkah pihak polis. “Pakcik tak ada niat sebenarnya, tapi pakcik terpaksa..’’ bisiknya kepada Ila dan Irah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Apa maksudnya? Pakcik tersebut pun berlalu pergi..

No comments:

Post a Comment